Kajian ini bertujuan mengukur perhubungan antara kemahiran belajar dengan pencapaian akademik dalam kalangan pelajar pelbagai kebolehan di daerah Kerian, Perak. Di samping itu, kajian ini bertujuan menunjukkan sama ada terdapat perbezaan kemahiran belajar antara pelajar lelaki dengan pelajar perempuan, kepelbagaian pencapaian akademik dan lokasi sekolah seperti bandar dan luar bandar. Seramai 180 orang pelajar tingkatan empat yang mewakili dua buah sekolah yang berada di lokasi yang berbeza terlibat dalam kajian. Kajian ini menggunakan satu set soal selidik kemahiran belajar yang mengandungi dua bahagian. Bahagian pertama mengandungi maklumat demografi responden seperti nama sekolah dan jantina. Bahagian kedua pula mengandungi soalan mengenai kemahiran belajar. Data kajian dianalisis menggunakan ujian korelasi Pearson bagi mengukur perhubungan antara kemahiran belajar dengan pencapaian akademik. Ujian-t digunakan bagi mengenal pasti perbezaan kemahiran belajar antara jantina dan lokasi sekolah. Ujian ANOVA digunakan untuk mengenal pasti perbezaan kemahiran belajar di kalangan pelajar pelbagai kebolehan pencapaian akademik. Keputusan ujian-t menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan pada kemahiran belajar di kalangan pelajar tingkatan empat yang berlainan jantina dan lokasi sekolah. Keputusan ujian ANOVA menunjukkan terdapat perbezaan kemahiran belajar dalam kalangan pelajar pelbagai kebolehan pencapaian akademik. Ujian korelasi Pearson r pula menunjukkan terdapat perhubungan positif antara kemahiran belajar dengan pencapaian akademik (PMR).
Kata kunci: kemahiran belajar, pencapaian akademik pelajar, pelbagai kebolehan